Petua Si Manja Susah Tidur Malam

Petua Si Manja Susah Tidur Malam

Ramai ibu bapa berhadapan masalah sukar menidurkan anak pada waktu malam. Biarpun lazimnya kanak-kanak gemar berlagak seperti orang dewasa dan kepetahan percakapan mereka juga kadangkala tidak bisa kita lawan, namun si manja hanyalah insan kecil yang takut jika ditinggalkan bersendirian lebih-lebih lagi pada waktu malam. Bunyi-bunyian aneh, dentuman guruh dan hantu imaginasi sering mengganggumya. Peliknya, ada antara mereka yang berani, tetapi enggan tidur kerana merasakan perkara tersebut adalah membosankan.

Amalkan petua berikut untuk memudahkan anak tidur:

  • Bercakap tentang harinya: Si manja harapkan perhatian. Ini adalah fakta yang bukan lagi rahsia. Luangkan masa bercakap dan biarkan dia berkongsi suka duka yang telah dilalui pada hari itu. Biarkan si manja luahkan apa yang dipendam agar mindanya tenang.

  • Buat jadual: Kanak-kanak lebih selesa dengan rutin dan sesuatu yang mudah dijangka. Berus gigi, cerita waktu tidur diikuti ciuman sayang di atas dahi adalah petanda kepada si manja bahawa waktu tidur telah tiba . Amalkan langkah mudah tersebut dan jadikannya tabiat.

  • Berikan sedikit kebebasan: Si manja anda memang gemar berlagak dan dilayan seperti orang dewasa. Si manja rasa dirinya penting jika berjaya buat keputusan sendiri. Biar dia pilih samada mahu didendangkan nyanyian atau mendengar cerita. Si manja akan lebih mendengar kata jika kemahuannya dituruti.

  • Selidik sebabnya: Tanya si manja mengapa tidak mahu tidur? Tanya adakah dia tidak sihat, tidak mengantuk atau bosan? Adakah dia mahu berkongsi sesuatu? Kadangkala perubahan waktu seperti waktu tidur yang diawalkan juga menjadi penyebab anak susah tidur.